Kebebasan Bersuara vs Perbuatan Menghasut Kebebasan Bersuara di Malaysia

Kebebasan bersuara sering dikaitan dengan perbuatan menghasut. Sesiapa yang menyebut, menulis, mencetak, menjual atau menyiarkan perkataan-perkataan yang mempunyai maksud hasutan adalah dianggap oleh undang-undang [6] sebagai melakukan kesalahan yang boleh dihukum hingga lima tahun penjara atau RM 5,000 didenda. Kebebasan mengeluarkan pendapat terhadap sesuatu isu adalah berbeza daripada menghasut yang cuba menyebabkan kehuru-haraan. Dalam kes Melan bin Abdullah & Anor lwn Pendakwa Raya [7], Ong CJ telah memutuskan bahawa niat seseorang semasa bercakap adalah tidak penting. Hal ini bermaksud sekiranya sesuatu yang dikatakan oleh orang tersebut mempunyai kecenderungan menghasut, dia akan didakwa di bawah kesalahan menghasut. Tambahan pula, dalam kes Pendakwa Raya lwn Ooi Kee Saik[8], mahkamah memutuskan pihak pendakwa raya tidak perlu menunjukkan sama ada perkataan yang mempunyai kecenderungan menghasut itu benar atau tidak. Di samping itu, dalam kes Pendakwa Raya lwn Oh Seng Keng [9], mahkamah memutuskan pihak pendakwa raya tidak perlu menunjukkan perkataan yang mempunyai sifat menghasut itu telah menimbulkan keadaan kacau-bila. Justeru itu, dalam ketiga-tiga kes yang telah dibincangkan, orang yang mengeluarkan perkataan yang diputus oleh mahkamah bersifat menghasut akan didakwa bawah kesalahan menghasut.

Walaubagaimanapun, dalam kes Sepakat Efektif Sdn Bhd v Menteri Dalam Negeri & Anor[10], mahkamah memutuskan bahawa gambaran dan ilustrasi dalam kedua-dua “Perak Darul Kartun” dan “1 Funny Malaysia” tidak mungkin akan membawa kepada kemudaratan awam kerana telahpun berada dalam pasaran sebelum pengharamannya. Tidak ada bukti yang mencukupi yang menunjukkan bahawa ia akan memudaratkan ketenteraman awam. Ia tidak melanggar Akta Hasutan 1948, dan tidak bercanggah dengan artikel 10(1)(a) dalam Perlembagaan Persekutuan.